Jan 18, 2009

PERANCANGAN AWAL TAHUN

 Masalah besar yang tidak disedari oleh pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan pada tahun ini (2009) adalah gagal membuat perancangan awal dan persediaan-persediaan yang perlu dilakukan bermula pada awal tahun sebelum mampu menduduki peperiksaan pada hujung tahun dengan tenang dan yakin. Ada dalam kalangan pelajar masih berada dalam mimpi bulan madu sebagaimana mereka rasai ketika berada dalam tingkatan 4 ( bagi calon SPM) atau 6 bawah (STPM). 

Jangan terkejut kalau penulis menyatakan bahawa pada tahun lepas (2008), ada pelajar yang hanya meminta jadual peperiksaan daripada guru setiausaha peperiksaan hanya selang beberapa hari sebelum menghadapi kertas peperiksaan sedangkan jadual tersebut telah diedarkan lebih awal dari waktu itu. Ketidakperihatinan pelajar dalam membuat persediaan menghadapi peperikaan jelas tergambar dalam situasi terebut. Betapa guru tersebut mengeluh panjang. Alasan yang diberi pelajar ialah dia tidak menyedari bahawa jadual peperikaan telah lama diedarkan oleh pihak sekolah.

 Pelajar seharusnya tidak menunggu ke saat akhir. Kejayaan tidak akan datang bergolek. Peratus kejayaan yang dapat dicapai oleh golongan pelajar seperti ini amat kecil. Kebanyakan pelajar tidak menyedari bahawa memulakan langkah pertama dalam menyediakan diri menghadapi peperiksaaan amat penting. Sebaik-baiknya seawal cuti penghujung tahun lepas atau setidak-tidaknya sebaik sahaja melangkah kaki di sekolah pada hari pertama persekolahan bermula. Langkah pertama ini memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan seseorang dalam peperikaan. 

 Tidak mustahil ada dalam kalangan pelajar yang masih berada di awang-awangan. Masih ada yang tidak tahu perkara yang perlu dilakukan. Malah tidak mustahil ada pelajar yang apabila ditanya masih tidak tahu arah tujuan mereka. Artikel ini ditulis bertujuan memberi sedikit sebanyak panduan kepada pelajar tentang langkah-langkah awal yang boleh diambil sebagai persediaan pelajar menghadapi peperiksaan besar pada hujung tahun.

1. 1. Tetapkan Matlamat/ Target/ Sasaran 

Pelajar harus menetapkan target atau sasaran yang hendak dicapai dalam peperiksaan. Target tersebut haruslah sesuai dan bertepatan dengan kemampuan dan potensi diri pelajar. Pelajar boleh berjumpa dengan guru-guru mata pelajaran untuk mendapat pandangan mereka. Guru dapat melihat potensi diri pelajar serta tahap kemampuan pelajar dalam pelajaran. Usahlah meletakkan sasaran yang terlampau tinggi jauh daripada kemampuan diri. Ukur baju di badan sendiri. Guru mata pelajar boleh membantu pelajar menetapkan sasaran yang logik dan munasabah untuk dicapai.

2. 2. Buat Perancangan Strategi Pelaksanaan

Setelah sasaran ditetapkan, pelajar harus menanyakan pada diri sendiri kaedah atau strategi untuk mencapai sasaran tersebut. Senaraikan perkara-perkara yang diperlukan sama ada dalam bentuk alatan atau dari segi persediaan mental dan fizikal. Senaraikan alatan yang diperlukan misalnya buku-buku rujukan ataupun mungkin peralatan kiraan seperti alat kira/ ‘kalkulator’, peralatan geometri. 

Percayalah! Walaupun sudah belajar selama setahun di tingkatan empat atau lebih kurang setengah tahun di Tingkatan Enam Bawah, masih ada pelajar yang tidak memiliki peralatan penting yang diperlukan untuk pembelajaran. 

Dari segi persediaan mental dan fizikal, dapatkan bantuan daripada ahli keluarga. Sokongan mereka banyak membantu pelajar dalam merealiasikan impian pelajar. Sokongan moral daripada keluarga memberikan satu suntikan semangat yang banyak membantu menggerakkan diri pelajar untuk berusaha lebih bersungguh-sungguh. 

Selain itu, dapatkan pertolongan ibu bapa bukan sahaja untuk mendapatkan bekalan makanan yang seimbang tetapi juga makanan-makanan kesihatan yang dapat membantu mencergaskan minda dan menajamkan pemikiran. Dewasa ini, banyak produk-produk keluaran tempatan yang mengandungi kurma, madu serta habatus sauda yang diakui secara saintifik dapat membantu mencergaskan minda. Jaga pemakanan supaya tubuh badan pelajar mendapat khasiat yang secukupnya untuk kekal sihat sepanjang tahun. Jika badan mendapat zat-zat yang mencukupi , ketahanan badan daripada penyakit adalah tinggi. 

Hal ini dapat mengelakkan pelajar daripada menghadapi sebarang penyakit yang mungkin mengganggu perjalanan pembelajaran pelajar. Ketidakhadiran pelajar ke sekolah akibat sakit atau demam mengurangkan peluang pelajar untuk menuntut seberapa banyak ilmu yang diberikan oleh guru malah memungkin pelajar ketinggalan dalam pelajaran. Sebaik-baiknya penuhkan jadual kehadiran pelajar supaya pelajar tidak tertinggal apa-apapun isi pelajaran yang diajarkan oleh guru.

Selain itu, santapan rohani amat penting. Banyakkanlah membaca Al-Quran lantaran hal ini dpat membantu menajamkan lagi pemikiran pelajar. Sudah ramai pelajar yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan yang mengakui bahawa membaca Al-quran dapat membantu daya hafal dan ketajaman fikiran pelajar.

3. 3. Buat jadual waktu belajar.

Masih ramai dalam kalangan pelajar yang tidak mahu membuat jadual belajar sendiri. Masih ada pelajar yang tidak tahu kaedah membuat jadual waktu belajar yang berkesan. Jika hal ini menjadi masalah, berjumpalah kauselor di sekolah. Mereka mempunyai kepakaran untuk membantu pelajar.

 Secara ringkas yang boleh dikatakan oleh penulis ialah pelajar memerlukan jadual belajar yang sistematik. Sememangnyaa jadual belajar adalah berbeza mengikut individu. Mungkin pelajar boleh mengambil panduan dariapda jadual belajar daripada kawa-kawan namun yang harus menetapkan masa dan intipati jadual ialah diri pelajar sendiri. Yang penting pelajar harus masukkan tempoh masa yang logik bagi mata pelajaran yang hendak diulang kaji serta mampu diikuti oleh pelajar. Perlu diingat, bukan kuantiti masa tetapi kualiti masa yang digunakan pelajar yang menentukan keberkesanan jadual yang dibuat.

Peruntukan masa yang lama untuk sesebuah mata pelajaran sedang hakikatnya pelajar tidak dapat memberi komitmen dan tumpuan yang sepenuhnya akan hanya membazirkan masa. Berikanlah komitmen yang sepenuhnya terhadap masa dan aktiviti yang dirancang. Memberikan fokus kepada perkara yang dibuat membolehkan pelajar memanfaatkan masa sebaik-baiknya.

Pelajar disarankan supaya meletakkan ruang masa dan usaha yang lebih kepada mata pelajaran yang pelajar lemah. Kecenderungan pelajar untuk mengabaikan mata pelajaran yang tidak diminati dan sukar difahami akan mendatangkan kesan negatif kepada pelajar sendiri.Oleh itu, tambahkan masa dan cari kaedah-kaedah yang sesuai supaya pelajar dapat memperbaik kelemahan dalam sesuatu mata pelajaran.

Jangan dilupa, masukkan juga waktu rehat dan riadah dalam jadual waktu yang dibina. Pelajar perlu mempunyai rehat yang secukupnya, misalnya tetapkan jangka masa waktu sanggang dan waktu tidur supaya pelajar mendapat rehat yang secukupnya. Jangan lupa masukkan waktu riadah mengikut tempoh masa yang sesuai, misalnya satu atau dua jam di sebelah petang. Hal ini bertujuan memberi rehat pada otak dan dalam masa yang sama memberikan kecergasan pada badan. Bukankah otak yang cerdas terletak dalam badan yang cergas dan sihat? Tindakan ini juga mampu menghilangkan tekanan pada otak atau ‘stres’ belajar atau kepenatan mengulang kaji atau bersekolah. Oleh itu, masukkan waktu bersenam atau beriadah dalam jadual. 

4. Disiplin diri

Kejayaan akan lebih mudah dicapai andainya pelajar mempunyai disiplin yang tinggi dalam mengikut jadual belajar yang pelajar tetapkan sendiri. Hal ini memang memerlukan komitmen dan pengorbanan yang tinggi daripada pelajar. Pelajar harus tekad untuk menolak sebarang bentuk gangguan yang mungkin timbul ketika ingin belajar. Gangguan seperti ajakan kawan untuk bersiar-siar atau ‘chat’ing di internet ataupun desakan kawan-kawan untuk melepak. Dalam hal ini adalah lebih baik pelajar memilih kawan dalam kalangan pelajar yang rajin belajar dan mempunyai motivasi diri yang tinggi. Dalam waktu yang sama, peluang untuk mewujudkan kumpulan perbincangan atau ‘group study’ akan lebih cerah. Malah pelajar akan mendapat manfaat yang lebih besar.

Keinginan untuk mencari keseronokan atau hiburan seperti menonton televisyen atau bermain permainan video haruslah dikurangkan atau ditinggalkan terus. Semua itu dapat dilakukan oleh pelajar sebaik sahaja habis peperiksaan di hujung tahun. Jadi, ketepikan dahulu keinginan untuk mencari hiburan semata-mata. Tumpu kepada pelajaran.

5. Usaha perlu gigih
Usaha tangga kejayaan. Termasuk dalam usaha ialah belajar secara berkesan atau ‘study smart’ dan dapat menggunakan masa secara berkualiti. Yang penting berikan tumpuan sepenuhnya masa belajar. Jangan mudah putus asa. Mungkin pelajar menghadapi masalah ketika mengulang kaji sama ada masalah dalam pelajaran atau masalah dalam keluarga atau masalah persekitaran. Itu semua adalah cabaran yang terpaksa pelajar tempuh. Untuk mengekalkan semangat yang tinggi, berjumpalah kaunselor untuk mendapatkan motivasi. Tidakpun dapatkan tip-tip belajar daripada pakar motivasi. Khidmat nasihat dan motivasi boleh pelajar dapati sekiranya pelajar melayari internet. Banyak laman-laman web yang memberi info yang berguna berkaitan hal ini.

Praktikkanlah cara belajar yang berkesan sebagaimana diajarkan atau disarankan dalam artikel-artikel berkenaan. Namun perlulah dibuat penyesuaian mengikut diri pelajar sendiri, sama ada mengikut kemampuan atau kebolehan pelajar. Belajar secara bijaksana dapat membantu pelajar mengejar impian pelajar untuk berjaya dengan cemerlang.

6.Tawakal

Khusunya bagi pelajar Islam, segala usaha haruslah disertai dengan tawakal kepada Allah. Sebelum memulakan apa-apa usaha perlu dimulakan dengan niat. Sebelum mengulang kaji, berdoalah kepada Allah supaya mempermudahkan penerimaan ilmu. Amalkanlah doa-doa yang diajarkan oleh ustaz atau ustazah di sekolah. Moga otak mudah menerima dan dapat memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap pelajaran. Kerapkan bangun untuk bersolat malam.

Misalnya solat hajat boleh dilakukan dalam jam 4-5 pagi. Waktu selepas solat subuh pula ialah waktu yang paling sesuai untuk membaca dan mengulang kaji pelajaran. Ketika ini, otak berada dalam keadaan yang segar dan cerdas dan mudah menerima sebarang maklumat. 

Pembelajaran yang dilakukan secara bersistematik dan berkesan perlu diteruskan dengan usaha yang gigih. Seterusnya pelajar perlulah berserah dan bertawakal kepada Allah. Lantaran dengan hidayah dan petunjuk daripada Allah sahaja, kejayaan akan dapat dicapai.

 Andai segalanya mengikut perancangan dan strategi yang betul, otak dapat menerima dengan mudah apa sahaja yang diulang kaji. Otak manusia adakah lebih baik dan lebih sempurna daripada komputer. Jika dimasukkan segala input secara bersistematik dan tertib dan mengikut kapasiti dan kemampuannya, segala pemprosesan pemerolehan semula input tersebut akan lebih mudah dan senang kelak, terutamanya ketika mengulang kaji pada saat-saat akhir menjelang peperiksaan.

Untuk berjaya, kita memerlukan kekuatan dalaman dalam menempuh pelbagai dugaan dan cabaran. Untuk berjaya terlalu banyak yang perlu dilakukan. Terlalu banyak pengorbanan yang perlu dibuat. Banyak yang perlu dibaca, banyak latihan yang perlu dibuat. Perancangan yang sistematik dan belajar secara lebih efektif banyak membantu pelajar menguruskan masa dengan sebaik-baiknya. Yang penting mulakan langkah pertama dan aturkanlah langkah satu demi satu. Pelajar akan dapat mengatasi masalah ‘stres’ dan lebih tabah menghadapi apa jua rintangan dan seterusnya berjaya mencapai apa yang diimpikan. Insyaallah.





Jan 5, 2009

HARI PERTAMA PERSEKOLAHAN 2009

Selamat menghadiri sekolah. Bagaimana perasaannya kembali semula ke sekolah setelah lama bercuti. Agaknya pelajar-pelajar berasa teruja.Tentu rindu kepada kawan-kawan. Mungkin tak terfikir pasal pelajaran. Tetapi itu yang harus difikirkan pada hari pertama ini. Kenapa?Bukankah masih awal lagi untuk fikir pasal pelajaran?

Tak.Itu yang silapnya. Biarpun baru hari pertama, tapi hari inilah waktunya kita sudah menetapkan sasaran kita dalam pelajaran. Ok.Biar saya tanya dulu. Dah buat azam tahun 2009? Belum?Kenapa belum? Bukankah azam menjadi penggerak kita untuk belajar. Semangat untuk mencapai kejayaan biasanya datang dari azam yang kita bina. Tekad untuk berjaya patutnya sudah disemat dalam hati dari hari pertama kita melangkah kaki semula ke sekolah.

Hari pertama sekolah, guru-guru sudah diingatkan supaya terus memulakan pengajaran dan pembeajaran (P&P). Guru-guru perlu bersedia untuk mengajar tetapi kalau pelajar belum bersedia untuk belajar, bagaimana? Berkesan atau tidak sesuatu P&P amat bergantung kepada kedua-dua belah pihak.Yang mengajar dan yang belajar.

Jadi, bantulah diri anda dan guru anda dengan 'set' pada minda yang anda juga akan memberi fokus sepenuh pada pelajaran pada hari ini, mulai hari ini dan untuk hari-hari seterusnya. Kalau anda tidak mulakan sendiri, siapa?

Ok. Dapatkan artikel saya 'Belajar Cara Belajar' dalam Majalah Ehwal Pendidikan(EP) keluaran Januari 2009. Semoga mendatangkan manfaat kepada anda.