Feb 28, 2009

BELAJAR CARA BELAJAR (BCB)

BELAJAR CARA BELAJAR (BCB)

Belajar cara belajar (BCB) merupakan satu bentuk kemahiran memperoleh teknik pembelajaran secara efektif dengan atau tanpa guru. Pelajar perlu belajar cara belajar supaya mereka dapat mengenal pasti kelemahan dan kekuatan dalam proses pembelajaran sama ada di dalam kelas atau luar kelas dan seterusnya berusaha untuk mencari jalan untuk mengatasi kelemahan dan menggunakan kelebihan atau kekuatan yang ada untuk memaksimumkan pencapaian dalam pelajaran.

Penguasaan kemahiran BCB amat penting bagi pelajar lantaran masa pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam kelas adalah amat terhad. Hal ini menyebabkan ilmu pengetahuan yang diterima oleh pelajar juga terhad. Oleh itu, pelajar harus belajar cara untuk memperoleh maklumat tambahan dan meningkatkan penguasaan mereka dalam mempelajari sesuatu. Dalam erti kata lain, BCB akan membantu pelajar supaya mampu dan berupaya untuk belajar sendiri tanpa guru.Dengan menguasai kemahiran BCB, pelajar juga mampu menilai tahap pembelajarannya sendiri dan seterusnya membuat sesuatu untuk meningkatkan prestasinya dalam pelajaran.

Kemahiran belajar meliputi keseluruhan kemahiran yang biasanya cuba diterapkan oleh guru Bahasa Melayu ( sama ada peringkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah) dalam P&P mereka (terkandung dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu) iaitu meliputi kemahiran mendengar dan bertutur, kemahiran membaca, kemahiran menulis dan mencatat nota dan kemahiran menghafal

1. Kemahiran Mendengar dan Bertutur

Kemahiran mendengar dan bertutur merujuk kepada keupayaan murid memahami perkara yang didengar dan menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan, serta idea yang kritis dan kreatif secara lisan dalam pelbagai situasi pengucapan sama ada dalam perbualan harian atau situasi formal. Kemahiran mendengar dan bertutur sememangnya saling berkaitan.

Kemahiran mendengar dan bertutur merupakan kemahiran utama yang perlu dikuasai oleh pelajar. Malangnya, pelajar sering mengabaikan penguasaan kemahiran ini kerana menganggap kemahiran mendengar kurang relevan dalam meningkatkan penguasaan dalam pelajar. Begitu juga pelajar kurang melibatkan diri secara aktif dalam perbincangan di dalam atau di luar bilik darjah. Sangkaan tersebut ternyata meleset. 

Sebenarnya, mendengar dan bertutur merupakan elemen penting dalam proses komunikasi yang berkesan antara manusia. Dalam komunikasi yang efektif, pelajar perlu menjadi pendengar yang baik. Pelajar perlu mendengar dengan teliti dan memberi perhatian terhadap perkara yang disampaikan. Selepas itu, pelajar juga harus mampu mengeluarkan pendapat atau pandangan terhadap sesuatu isi pelajaran yang dipelajari

Tujuan kita mendengar sesuatu adalah untuk mendapat maklumat, fakta atau pengetahuan daripada perkara yang didengar. Tidak kira siapapun penyampainya, yang pentingnya ialah orang tersebut mampu memberikan maklumat, memberi penjelasan tentang sesuatu yang bermakna kepada kita supaya kita lebih memahami hal terebut..

Begitu juga halnya dalam P&P di bilik darjah. Pelajar perlu memberikan perhatian yang sepenuhnya terhadap perkara yang disampaikan oleh guru. Caranya, pelajar perlu mendengar dan memandang ke arah guru serta memberi fokus terhadap perkara yang diajarkan oleh guru. Amat perlu untuk pelajar mendengar penjelasan guru tentang sesuatu perkara yang dipelajari supaya pelajar dapat memahami isi pelajaran.

Sekiranya ditanya oleh guru, pelajar harus berkemampuan untuk memberi jawapan. Begitu juga halnya ketika pelajar tidak jelas atau memahami sesuatu isi pelajaran. Dalam hal ini pelajar berupaya mengaju soalan kepada guru atau rakan-rakan bagi memperoleh maklumat yang dikehendaki.

2. Kemahiran Membaca

Pelajar perlu menguasai kemahiran membaca untuk memperoleh infomasi , ilmu pengetahuan dan maklumat tentang sesuatu perkara. Membaca juga merupakan satu bentuk komunikasi iaitu komunikasi antara pembaca dan penulis.

Terdapat 4 tahap kemahiran membaca iaitu:

a. Skimming

Skimming merupakan satu bentuk kemahiran membaca untuk mendapat gambaran keseluruhan atau idea utama dalam sesuatu bahan atau teks bacaan . Misalnya, apabila kita membaca surat khabar, tentunya kita tidak akan membaca perkataan demi perkataan, sebaliknya kita akan melakukan imbasan terhadap petikan yang terdapat dalam surat khabar tersebut. 

Skimming dilakukan 3 atau 4 kali lebih cepat daripada pembacaan normal. Kebanyakan orang melakukan pembacaan secara skimming apabila mereka mempunyai banyak bahan yang perlu dibaca dalam masa yang terhad. Kemahiran skimming wajar dikuasai pelajar supaya pelajar dapat menjimatkan masa ketika mencari maklumat atau informasi tertentu melalui pembacaan artikel di internet atau bacaan buku rujukan. Skimming amat berguna kepada pelajar terutamanya ketika pelajar ingin mencari informasi melalui internet. Pelajar perlu membuat pembacaan secara skimming untuk melihat sama ada sesuatu bahan tersebut memenuhi keperluan pelajar atau berkaitan dnegan maklumat yang ingin diperoleh oleh pelajar.

Ada terdapat beberapa strategi yang boleh dilakukan ketika skimming. Pelajar boleh membaca tajuk, sub-tajuk atau melihat gambar rajah atau carta. Pelajar boleh membaca perenggan pendahuluan dan penutup seuatu teks. Selain itu, baca juga hanya ayat pertama setiap perenggan. Biasanya ayat pertama ini memberi idea utama yang ingin disampaikan oleh penulis. 
Cara bacaan ini adalah lebih sesuai sekiranya pelajar ingin mencari maklumat tertentu bukannya untuk pemahaman teks. Paling sesuai sekiranya pelajar ingin mengetahui tentang sesuatu tarikh, nama, tempat dan maklumat-maklumat yang spesifik seperti data atau fakta ringkas. Malah skimming boleh digunakan untuk melihat graf, jadual atau carta.

b. Scanning

Scanning atau imbasan ialah kemahiran membaca untuk mendapatkan informasi yang lebih terperinci daripada bacaan skimming. Biasanya, melalui kemahiran membaca secara scanning pelajar mampu mencari jawapan kepada pelbagai persoalan yang timbul dalam sesuatu topik pelajaran. Dalam erti kata lain, dalam kebanyakan situasi, pelajar tahu perkara yang ingin dicari. Lantaran itu, fokus pembacaan ialah mencari kata-kata kunci yang tertentu dalam mencari jawapan tersebut. Membaca secara imbasan melibatkan tindakan menggerakkan anak mata dengan cepat untuk mencari perkataan khusus atau frasa-frasa tertentu.

  Sebenarnya, pembacaan secara scanning atau imbasan ini merupakan satu kaedah cepat untuk mendapatkan fakta tertentu dalam buku teks atau buku rujukan. Scanning juga merupakan satu langkah awal bacaan kerana melalui cara ini, pelajar boleh mengetahui istilah-istilah baru dan seterusnya mencari maknanya dalam kamus atau glossari dan menjimatkan masa ketika membuat pembacaan sebenar atau bacaan berat untuk pemahaman.

  Menguasai kemahiran membaca secara scanning melibatkan masa yang tidak lebih daripada beberapa minit. Hal ini membantu pelajar menjimatkan masa dan dalam masa yang sama mendapat jawapan kepada persoalan-persoalan yang berkaitan. Hanya selepas itu, pelajar boleh membuat keputusan dalam menentukan tahap kepentingan sesuatu istilah, konsep dan bahagian dalam teks atau buku teks mahupun buku rujukan yang memerlukan perhatian khusus ketika pelajar membuat ulang kaji atau membaca untuk belajar
 
c. Baca Laju

  Kemahiran bacaan laju merupakan kemahiran membaca secara cepat tetapi dalam masa yang sama memahami bahan yang dibaca. Dalam bacaan laju, tumpuan utama kepda idea utama atau isi-isi penting dalam sesuatu bahan bacaan. Penguasaan kemahiran bacaan laju banyak membantu pelajar menggunakan masa yang terhad secara optimum. Hal ini disebabkan oleh pemerolehan maklumat atau fakta yang diperlukan oleh pelajar dapat dilakukan dalam masa yang singkat dan dengan kadar yang cepat. 

  d. Bacaan berat atau bacaan intensif 

  Bacaan berat atau bacaan intensif ialah kemahiran membaca untuk mendapatkan informasi secara terperinci. Bacaan intensif memerlukan fokus yang mendalam dan penelitian terhadap bahan atau teks yang dibaca. Dalam menguasai kemahiran membaca intensif ini , pelajar perlu memiliki ketekunan dalam pembacaan yang tinggi. Pelajar juga perlu memperuntukan masa yang panjang untuk melakukan bacaan berat kerana bacaan berat melibatkan masa yang lebih lama supaya pelajar boleh mendapat maklumat dan memahami teks atau bahan bacaan secara jitu dan mantap. 

3. Kemahiran Menulis dan Mencatat Nota

BCB tidak sahaja memerlukan pelajar itu menguasai kemahiran bertutur, mendengar dan membaca tetapi yang lebih penting ialah menguasai kemahiran menulis terutama kemahiran menulis nota dan menulis cepat.

Kemahiran mencatat nota melibatkan aktiviti merekodkan data, maklumat, informasi, fakta atau isi-isi penting daripada sesuatu bahan sama ada bahan yang dibaca, didengar atau dilihat. Cataran nota akan membantu pelajar untuk lebih memahami isi pelajaran. Selain itu, nota tersebut berguna sebagai bahan rujukan dalam mengulang kaji pelajaran pada masa-masa mendatang.

Kemahiran menulis cepat ialah kemahiran menulis dengan kadar yang laju dan cepat dalam tempoh masa yang terhad. Walau bagaimnapun, tulisannya mestilah boleh dibaca dan difahami. Penguasaan kemahiran menulis cepat akan membantu pelajar menulis sebanyak mungkin maklumat dalam jangka masa yang terhad dan hal ini membantu peljar menjimatkan masa. Selain itu, seseorang yang menguasai kemahiran ini akan mampu memberikan jawapan yang mengandungi banyak isi ketika menjawab soalan peperiksaan.

4. Kemahiran Mengingat atau Menghafal

Mengingat dan menghafal merupakan satu bentuk kemahiran yang perlu dikuasai oleh pelajar jika ingin berjaya dalam pelajaran. Kemahiran mengingat atau menghafal merupakan kemahiran mengingati semula isi-isi pelajaran dan fakta-fakta yang telah dipelajari sebelum ini. 
Faktor penting yang membantu proses mengingat atau menghafal ialah kefahaman tentang sesuatu bahan yang dibaca dan dipelajari. Kemahiran mengingat atau menghafal banyak dibantu oleh deria pendengaran dan penglihatan yang baik. Dalam hal ini, maklumat atau informasi diterima daripada deria dan disimpan dalam otak. Kemahiran mengingat dan menghafal membantu informasi yang diterima disimpan dalam ingatan kekal dan mampu digunakan semula pada masa yang diperlukan.

5. Kemahiran Mengumpul Maklumat

Kemahiran maklumat merupakan satu aspek kemahiran BCB yang paling utama. Dalam hal ini, pelajar bukan sahaja mampu mengenal pasti maklumat yang perlu dicari, tetapi juga mampu mengumpul, mengurus dan mengolah maklumat supaya maklumat tersebut dapat digunakan bagi memenuhi keperluan dalam pembelajaran. 

Kemahiran ini perlu dikuasai pelajar supaya pelajar mampu memperoleh maklumat tambahan dalam pelajaran. Hal ini disebabkan pelajar tidak boleh semata-mata bergantung kepada maklumat yang diberikan oleh guru-guru. Apabila pelajar menguasai kemahiran maklumat, bermakna pelajar berupaya mengenal pasti sumber pembelajaran, kaedah atau teknik mendapatkan maklumat sama ada melalui rujukan buku, rujukan kamus atau rujukan melalui sumber internet.

Tuntasnya, dengan menguasai kemahiran cara belajar sama ada dengan atau tanpa kehadiran guru, pelajar dapat memaksimumkan usaha dan mengoptimumkan pemerolehan ilmu pengetahuan . Dalam masa yang sama, penguasaan kemahiran cara belajar mampu membantu pelajar menggunakan masa secara berkesan. Bukan sahaja pelajar dapat mengenal pasti kelemahan dan kekuatan dalam proses pembelajaran pelajar sendiri serta cuba untuk mengatasinya namun yang lebih penting pelajar mampu membuat pembelajaran kendiri secara efektif bersesuaian dengan penekanan aspek pembelajaran sepanjang hayat oleh Kementerian Pelajaran.





Feb 8, 2009

Langkah Untuk Belajar-Belajar itu Mudah!

Ramai pelajar rasa tertekan dengan bebanan tugas belajar. Nak belajar bukannya susah. Dah banyak kali saya cakap. Tak ramai tak percaya. Saya ulang lagi. Nak belajar tak susah. Yang pentingnya ialah MINAT. Malangnya ramai yang tidak minat nak belajar. Ramai yang terpaksa belajar atau dipaksa belajar oleh ibu bapa. Semuanya hanya nak lulus ‘exam’.
Kerja belajar bukannya boleh dipaksa-paksa. Tak menjadi. Tapi kalau tak dipaksa, alamat tak dibuat langsung. Habis tu camna?
Senang saja.(Lagi-lagis senang! Lagi-lagi mudah! Mesti ada yang mengutuk saya ni.Hehehe! Semua tu sebab tak yakin dengan diri sendiri bukannya tak yakin dengan saya).
Bagi yang nak tahu langkah awal nak belajar, ikutilah langkah mudah ini.

Pertama,
‘Set’kan di minda ‘Belajar itu Mudah’ (Logik tak logik, Mampu tak mampu, boleh tak boleh...Ketepikan fikiran negatif itu dulu).

Kedua,
Bina Azam. Katakan pada diri sendiri ‘Aku akan dapat ‘Straight A’ dalam PMR atau 10A1 dalam SPM.
Ini mesti ramai yang ragu-ragu. Boleh ke aku dapat cemerlang macam tu? Cikgu ni mengarut, apa? Janganlah target tinggi sangat. Ikut kemampuan. Tak tahu kebolehan atau potensi diri, tanyalah cikgu kat sekolah tu. Cikgu yang kenal anda lah . Cikgu yang mengajar anda. Biasanya cikgu boleh melihat potensi atau kemampuan anak didiknya.

Ketiga,
Buat perancangan strategi. Nak berjaya kena ada strategi. Tanyalah diri, ‘Bagaimana aku nak capai 10A1 ni? Senaraikan langkah-langkah atau aktiviti yang perlu dilakukan. Rancang aktiviti. Tak tau tanya kaunselor. Nak tau dari saya...topik akan datang akan saya bincangkan. Kena ikut perkembangan blog saya ni. ( Taktik nak pancing pengunjung blog.hehehe! Biasalah...Jangan marah!)
Rancang aktiviti untuk LULUS dan capai ‘TARGET’. Jangan rancang untuk ‘GAGAL’

Contoh rancangan untuk GAGAL ;

a.Jangan buat apa-apa aktiviti belajar.
b.Baca buku? Tak.tangguhkan dulu. Tunggu ada mood.
c.Buat Latihan? Jangannnnnn.Tunggu dululllll.Nantilah. banyak masa lagi. Buat saat akhir. Tak pun tiru kawan saja.
d. tak payah tanya cikgu kalau tak faham. Cikgu memang ajar entah apa-apa. Tanyapun mesti tak faham. Lagipun malu kat kawan-kawan
e. Lepak lama-lama dengan kawan-kawn. Tak pa. Nak enjoy.Exam lambat lagi.
f. Chatting dengan kawan dekat internet. Pergi myspace, frienster atau tagged. Best gilerrrr!
h. Main permainan video. Berjam-jam pun tak apa

Sebenarnya, kalau anda tidak merancang sesuatu untuk berjaya, anda sebenarnya merancang untuk ‘GAGAL’, jadi kesimpulannya...buatlah sesuatu.
Apa sesuatu itu? Sesuatu itu, yang utamanya ialah menguruskan masa.

a. Pengurusan masa
Pelajar yang mahu berjaya mesti tahu menguruskan masa secara berkesan. Untuk menguruskan masa, mesti ada jadual belajar sendiri. Jadual belajar menjadi panduan skop pembelajaran mengikut masa atau tempoh. (Saya akan bincangkan cara buat jadual waktu dalam siri kemahiran belajar yang akan datang..selalulah tengok perkembangan blog ni yek! Hehehe! Satu lagi cara nak anda datang tengok blog saya.)

 Perlu diingat! Dalam anda merancang untuk berjaya, anda perlu catat segala perancangan tersebut. Untuk diingati (sebagai reminder), supaya anda tidak lupa. Boleh jugak ditampal di tempat-tempat yang anda selalu nampak, misalnya di atas meja tulis, di dinding bilik, di pintu bilik, di depan peti ais dan mana-mana tempat strategik...kat tandas pun tak pa. Ye la sambil cangkung-cangkung tu daripada berkhayal baik baca dan ingat balik apa yang telah dirancang.

Tujuannya supaya pelajar akan sentiasa ingat perkara yang harus dilakukannya. Agar pelajar kembali ke ‘trek’ asal andai tergelincir/ter’melencung’ ke tempat lain, jauh daripada sasaran.
 
Keempat,
Pelaksanaan.

Apabila dah dibuat perancangan aktiviti, tentulah tiba masanya untuk melaksanakan aktivti-aktivit yang dirancang.Tetapi ingat....buatlah ikut ruang dan masa anda sendiri.Maksudnya boleh diubahsuai ikut kemampuan atau kebolehan anda.( Kan namanya perancangan, bolehlah diubahsuaikan...mana boleh terlalu rigid,kan)Satu lagi yang saya nak nasihatkan.

Jangan cepat putus asa. Pada peringkat awal, potensi nak ikut 100% perkara yang dirancang, jarang menjadi. Terutamanya bagi pelajar yang dah biasa malas nak belajar, yang dah kena serang dengan penyakit M (apa M tu?...MALASSSSSS). Tak pa kalau mulalah tergelincir dari landasan. Naik trek balik, jangan putus asa.k


Kelima,
Pantau kembali segala aktiviti pembelajaran. Buat refleksi segala tindakan. Perbaiki kelemahan.perkuatkan lagi kekuatan diri dan kebolehan.

Keenam,
Rekod segala pencapaian atau prestasi sendiri.boleh buat ujian sendiri atau buat berdasarkan markah ujian sekolah

Ketujuh
Selalulah jenguk blog saya untuk tips-tips belajar.k
 

Feb 1, 2009

TEKNIK MEMBACA CEPAT

Salah satu kemahiran yang perlu dikuasai oleh pelajar ialah kemahiran membaca cepat. Almaklumlah, terlalu banyak bahan bacaan yang perlu dibaca oleh pelajar bagi menambah ilmu pengetahuan sama ada buku rujukan atau buku akademik mahupun buku teks.
Ada beberapa teknik membaca cepat yang boleh dipraktikkan oleh pelajar iaitu :
1. Membaca mengunakan mata bukan mulut
    Lazimnya, ketika kita membaca sesebuah buku, kita cenderung membaca dengan kuat ataupun kita membaca dalam hati. Pasti ketika ini kita seolah-olah mendengar suara yang membaca bahan bacaan tersebut. Sekiranya kita ingin membaca cepat, cuba elakkan daripada membiarkan bacaan kita dipengaruhi oleh suara hati tadi. Dalam erti kata lain , kita hanya menggunakan mata untuk membaca bukan menggunakan mulut atau suara hati lantaran tindakan ini hanya akan melambatkan bacaan kita. Dalam bacaan, sebenarnya kita mahu mendapatkan idea/ fakta bukannya menghafal perkataan demi perkataan.Mungkin pada peringat awal, teknik ini sukar dilakukan. Namun berkat latihan yang kerap dilakukan, insyaallah kita akan dapat membaca dengan mata bukan dengan mulut. 
2.Gunakan 'pointer' atau jari untuk membaca
Tindkan menggunakan jari telunjuk atau 'pointer' membolehkan kita memberi fokus kepada pembacaan kita. hal ini mendorong kita membaca dengan cepat. Sebabnya, jari kita tadi menjadi panduan kepada mata untuk memberi tumpuan kepada bahan yang dibaca, bukan pada sesuatu yang lain.
3.Ketika membaca, kemungkinan kita akan menjumpai sesuatu perkataan yang mungkin mempunyai makna kepada kita. Jangan kita membiarkan fikiran kita berlegar atau melayang memikirkan pengalaman atau pengetahuan luar  yang berkaitan perkataan tersebut kerana hal ini hanya akan melambatkan pembacaan kita. Fokus pada pembacaan.
4. Teruskan bacaan tanpa berpatah balik
Kita juga cenderung mengulangi pembacaan ketika membaca sesuatu bahan. Tindakan ke belakang ini haruslah dielakkan. Ingat! dalam bacaan cepat, yang ingin kita capai ialah idea keseluruhan yang disampaikan oleh sesuatu bahan bacaan bukan maklumat terperinci. Oleh itu, abaikan sahaja tindakan membaca semula apa-apa perkataan yang kita rasa tertinggal. Teruskan bacaan sehingga akhir.
Sebenarnya bacaan cepat ini hanya sesuai sekiranya bahan bacaan kita ialah surat khabar atau bahan majalah atau bahan rujukan tetapi tujuan pembacaannya pula hanyalah untuk mendapat idea keseluruhan atau mesej yang ingin disampaikan oleh penulis. Misalnya, kita membaca berita luar negara untuk mengetahui perkembangan semasa atau membaca sesuatu topik dalam buku teks untuk mendapat idea keseluruhan topik tersebut.Tetapi sekiranya seseorang itu membaca dengan tujuan untuk mengulang kaji, kaedah ini kurang sesuai dilakukan.