Feb 1, 2009

TEKNIK MEMBACA CEPAT

Salah satu kemahiran yang perlu dikuasai oleh pelajar ialah kemahiran membaca cepat. Almaklumlah, terlalu banyak bahan bacaan yang perlu dibaca oleh pelajar bagi menambah ilmu pengetahuan sama ada buku rujukan atau buku akademik mahupun buku teks.
Ada beberapa teknik membaca cepat yang boleh dipraktikkan oleh pelajar iaitu :
1. Membaca mengunakan mata bukan mulut
    Lazimnya, ketika kita membaca sesebuah buku, kita cenderung membaca dengan kuat ataupun kita membaca dalam hati. Pasti ketika ini kita seolah-olah mendengar suara yang membaca bahan bacaan tersebut. Sekiranya kita ingin membaca cepat, cuba elakkan daripada membiarkan bacaan kita dipengaruhi oleh suara hati tadi. Dalam erti kata lain , kita hanya menggunakan mata untuk membaca bukan menggunakan mulut atau suara hati lantaran tindakan ini hanya akan melambatkan bacaan kita. Dalam bacaan, sebenarnya kita mahu mendapatkan idea/ fakta bukannya menghafal perkataan demi perkataan.Mungkin pada peringat awal, teknik ini sukar dilakukan. Namun berkat latihan yang kerap dilakukan, insyaallah kita akan dapat membaca dengan mata bukan dengan mulut. 
2.Gunakan 'pointer' atau jari untuk membaca
Tindkan menggunakan jari telunjuk atau 'pointer' membolehkan kita memberi fokus kepada pembacaan kita. hal ini mendorong kita membaca dengan cepat. Sebabnya, jari kita tadi menjadi panduan kepada mata untuk memberi tumpuan kepada bahan yang dibaca, bukan pada sesuatu yang lain.
3.Ketika membaca, kemungkinan kita akan menjumpai sesuatu perkataan yang mungkin mempunyai makna kepada kita. Jangan kita membiarkan fikiran kita berlegar atau melayang memikirkan pengalaman atau pengetahuan luar  yang berkaitan perkataan tersebut kerana hal ini hanya akan melambatkan pembacaan kita. Fokus pada pembacaan.
4. Teruskan bacaan tanpa berpatah balik
Kita juga cenderung mengulangi pembacaan ketika membaca sesuatu bahan. Tindakan ke belakang ini haruslah dielakkan. Ingat! dalam bacaan cepat, yang ingin kita capai ialah idea keseluruhan yang disampaikan oleh sesuatu bahan bacaan bukan maklumat terperinci. Oleh itu, abaikan sahaja tindakan membaca semula apa-apa perkataan yang kita rasa tertinggal. Teruskan bacaan sehingga akhir.
Sebenarnya bacaan cepat ini hanya sesuai sekiranya bahan bacaan kita ialah surat khabar atau bahan majalah atau bahan rujukan tetapi tujuan pembacaannya pula hanyalah untuk mendapat idea keseluruhan atau mesej yang ingin disampaikan oleh penulis. Misalnya, kita membaca berita luar negara untuk mengetahui perkembangan semasa atau membaca sesuatu topik dalam buku teks untuk mendapat idea keseluruhan topik tersebut.Tetapi sekiranya seseorang itu membaca dengan tujuan untuk mengulang kaji, kaedah ini kurang sesuai dilakukan.

No comments:

Post a Comment