Feb 28, 2009

BELAJAR CARA BELAJAR (BCB)

BELAJAR CARA BELAJAR (BCB)

Belajar cara belajar (BCB) merupakan satu bentuk kemahiran memperoleh teknik pembelajaran secara efektif dengan atau tanpa guru. Pelajar perlu belajar cara belajar supaya mereka dapat mengenal pasti kelemahan dan kekuatan dalam proses pembelajaran sama ada di dalam kelas atau luar kelas dan seterusnya berusaha untuk mencari jalan untuk mengatasi kelemahan dan menggunakan kelebihan atau kekuatan yang ada untuk memaksimumkan pencapaian dalam pelajaran.

Penguasaan kemahiran BCB amat penting bagi pelajar lantaran masa pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam kelas adalah amat terhad. Hal ini menyebabkan ilmu pengetahuan yang diterima oleh pelajar juga terhad. Oleh itu, pelajar harus belajar cara untuk memperoleh maklumat tambahan dan meningkatkan penguasaan mereka dalam mempelajari sesuatu. Dalam erti kata lain, BCB akan membantu pelajar supaya mampu dan berupaya untuk belajar sendiri tanpa guru.Dengan menguasai kemahiran BCB, pelajar juga mampu menilai tahap pembelajarannya sendiri dan seterusnya membuat sesuatu untuk meningkatkan prestasinya dalam pelajaran.

Kemahiran belajar meliputi keseluruhan kemahiran yang biasanya cuba diterapkan oleh guru Bahasa Melayu ( sama ada peringkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah) dalam P&P mereka (terkandung dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu) iaitu meliputi kemahiran mendengar dan bertutur, kemahiran membaca, kemahiran menulis dan mencatat nota dan kemahiran menghafal

1. Kemahiran Mendengar dan Bertutur

Kemahiran mendengar dan bertutur merujuk kepada keupayaan murid memahami perkara yang didengar dan menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan, serta idea yang kritis dan kreatif secara lisan dalam pelbagai situasi pengucapan sama ada dalam perbualan harian atau situasi formal. Kemahiran mendengar dan bertutur sememangnya saling berkaitan.

Kemahiran mendengar dan bertutur merupakan kemahiran utama yang perlu dikuasai oleh pelajar. Malangnya, pelajar sering mengabaikan penguasaan kemahiran ini kerana menganggap kemahiran mendengar kurang relevan dalam meningkatkan penguasaan dalam pelajar. Begitu juga pelajar kurang melibatkan diri secara aktif dalam perbincangan di dalam atau di luar bilik darjah. Sangkaan tersebut ternyata meleset. 

Sebenarnya, mendengar dan bertutur merupakan elemen penting dalam proses komunikasi yang berkesan antara manusia. Dalam komunikasi yang efektif, pelajar perlu menjadi pendengar yang baik. Pelajar perlu mendengar dengan teliti dan memberi perhatian terhadap perkara yang disampaikan. Selepas itu, pelajar juga harus mampu mengeluarkan pendapat atau pandangan terhadap sesuatu isi pelajaran yang dipelajari

Tujuan kita mendengar sesuatu adalah untuk mendapat maklumat, fakta atau pengetahuan daripada perkara yang didengar. Tidak kira siapapun penyampainya, yang pentingnya ialah orang tersebut mampu memberikan maklumat, memberi penjelasan tentang sesuatu yang bermakna kepada kita supaya kita lebih memahami hal terebut..

Begitu juga halnya dalam P&P di bilik darjah. Pelajar perlu memberikan perhatian yang sepenuhnya terhadap perkara yang disampaikan oleh guru. Caranya, pelajar perlu mendengar dan memandang ke arah guru serta memberi fokus terhadap perkara yang diajarkan oleh guru. Amat perlu untuk pelajar mendengar penjelasan guru tentang sesuatu perkara yang dipelajari supaya pelajar dapat memahami isi pelajaran.

Sekiranya ditanya oleh guru, pelajar harus berkemampuan untuk memberi jawapan. Begitu juga halnya ketika pelajar tidak jelas atau memahami sesuatu isi pelajaran. Dalam hal ini pelajar berupaya mengaju soalan kepada guru atau rakan-rakan bagi memperoleh maklumat yang dikehendaki.

2. Kemahiran Membaca

Pelajar perlu menguasai kemahiran membaca untuk memperoleh infomasi , ilmu pengetahuan dan maklumat tentang sesuatu perkara. Membaca juga merupakan satu bentuk komunikasi iaitu komunikasi antara pembaca dan penulis.

Terdapat 4 tahap kemahiran membaca iaitu:

a. Skimming

Skimming merupakan satu bentuk kemahiran membaca untuk mendapat gambaran keseluruhan atau idea utama dalam sesuatu bahan atau teks bacaan . Misalnya, apabila kita membaca surat khabar, tentunya kita tidak akan membaca perkataan demi perkataan, sebaliknya kita akan melakukan imbasan terhadap petikan yang terdapat dalam surat khabar tersebut. 

Skimming dilakukan 3 atau 4 kali lebih cepat daripada pembacaan normal. Kebanyakan orang melakukan pembacaan secara skimming apabila mereka mempunyai banyak bahan yang perlu dibaca dalam masa yang terhad. Kemahiran skimming wajar dikuasai pelajar supaya pelajar dapat menjimatkan masa ketika mencari maklumat atau informasi tertentu melalui pembacaan artikel di internet atau bacaan buku rujukan. Skimming amat berguna kepada pelajar terutamanya ketika pelajar ingin mencari informasi melalui internet. Pelajar perlu membuat pembacaan secara skimming untuk melihat sama ada sesuatu bahan tersebut memenuhi keperluan pelajar atau berkaitan dnegan maklumat yang ingin diperoleh oleh pelajar.

Ada terdapat beberapa strategi yang boleh dilakukan ketika skimming. Pelajar boleh membaca tajuk, sub-tajuk atau melihat gambar rajah atau carta. Pelajar boleh membaca perenggan pendahuluan dan penutup seuatu teks. Selain itu, baca juga hanya ayat pertama setiap perenggan. Biasanya ayat pertama ini memberi idea utama yang ingin disampaikan oleh penulis. 
Cara bacaan ini adalah lebih sesuai sekiranya pelajar ingin mencari maklumat tertentu bukannya untuk pemahaman teks. Paling sesuai sekiranya pelajar ingin mengetahui tentang sesuatu tarikh, nama, tempat dan maklumat-maklumat yang spesifik seperti data atau fakta ringkas. Malah skimming boleh digunakan untuk melihat graf, jadual atau carta.

b. Scanning

Scanning atau imbasan ialah kemahiran membaca untuk mendapatkan informasi yang lebih terperinci daripada bacaan skimming. Biasanya, melalui kemahiran membaca secara scanning pelajar mampu mencari jawapan kepada pelbagai persoalan yang timbul dalam sesuatu topik pelajaran. Dalam erti kata lain, dalam kebanyakan situasi, pelajar tahu perkara yang ingin dicari. Lantaran itu, fokus pembacaan ialah mencari kata-kata kunci yang tertentu dalam mencari jawapan tersebut. Membaca secara imbasan melibatkan tindakan menggerakkan anak mata dengan cepat untuk mencari perkataan khusus atau frasa-frasa tertentu.

  Sebenarnya, pembacaan secara scanning atau imbasan ini merupakan satu kaedah cepat untuk mendapatkan fakta tertentu dalam buku teks atau buku rujukan. Scanning juga merupakan satu langkah awal bacaan kerana melalui cara ini, pelajar boleh mengetahui istilah-istilah baru dan seterusnya mencari maknanya dalam kamus atau glossari dan menjimatkan masa ketika membuat pembacaan sebenar atau bacaan berat untuk pemahaman.

  Menguasai kemahiran membaca secara scanning melibatkan masa yang tidak lebih daripada beberapa minit. Hal ini membantu pelajar menjimatkan masa dan dalam masa yang sama mendapat jawapan kepada persoalan-persoalan yang berkaitan. Hanya selepas itu, pelajar boleh membuat keputusan dalam menentukan tahap kepentingan sesuatu istilah, konsep dan bahagian dalam teks atau buku teks mahupun buku rujukan yang memerlukan perhatian khusus ketika pelajar membuat ulang kaji atau membaca untuk belajar
 
c. Baca Laju

  Kemahiran bacaan laju merupakan kemahiran membaca secara cepat tetapi dalam masa yang sama memahami bahan yang dibaca. Dalam bacaan laju, tumpuan utama kepda idea utama atau isi-isi penting dalam sesuatu bahan bacaan. Penguasaan kemahiran bacaan laju banyak membantu pelajar menggunakan masa yang terhad secara optimum. Hal ini disebabkan oleh pemerolehan maklumat atau fakta yang diperlukan oleh pelajar dapat dilakukan dalam masa yang singkat dan dengan kadar yang cepat. 

  d. Bacaan berat atau bacaan intensif 

  Bacaan berat atau bacaan intensif ialah kemahiran membaca untuk mendapatkan informasi secara terperinci. Bacaan intensif memerlukan fokus yang mendalam dan penelitian terhadap bahan atau teks yang dibaca. Dalam menguasai kemahiran membaca intensif ini , pelajar perlu memiliki ketekunan dalam pembacaan yang tinggi. Pelajar juga perlu memperuntukan masa yang panjang untuk melakukan bacaan berat kerana bacaan berat melibatkan masa yang lebih lama supaya pelajar boleh mendapat maklumat dan memahami teks atau bahan bacaan secara jitu dan mantap. 

3. Kemahiran Menulis dan Mencatat Nota

BCB tidak sahaja memerlukan pelajar itu menguasai kemahiran bertutur, mendengar dan membaca tetapi yang lebih penting ialah menguasai kemahiran menulis terutama kemahiran menulis nota dan menulis cepat.

Kemahiran mencatat nota melibatkan aktiviti merekodkan data, maklumat, informasi, fakta atau isi-isi penting daripada sesuatu bahan sama ada bahan yang dibaca, didengar atau dilihat. Cataran nota akan membantu pelajar untuk lebih memahami isi pelajaran. Selain itu, nota tersebut berguna sebagai bahan rujukan dalam mengulang kaji pelajaran pada masa-masa mendatang.

Kemahiran menulis cepat ialah kemahiran menulis dengan kadar yang laju dan cepat dalam tempoh masa yang terhad. Walau bagaimnapun, tulisannya mestilah boleh dibaca dan difahami. Penguasaan kemahiran menulis cepat akan membantu pelajar menulis sebanyak mungkin maklumat dalam jangka masa yang terhad dan hal ini membantu peljar menjimatkan masa. Selain itu, seseorang yang menguasai kemahiran ini akan mampu memberikan jawapan yang mengandungi banyak isi ketika menjawab soalan peperiksaan.

4. Kemahiran Mengingat atau Menghafal

Mengingat dan menghafal merupakan satu bentuk kemahiran yang perlu dikuasai oleh pelajar jika ingin berjaya dalam pelajaran. Kemahiran mengingat atau menghafal merupakan kemahiran mengingati semula isi-isi pelajaran dan fakta-fakta yang telah dipelajari sebelum ini. 
Faktor penting yang membantu proses mengingat atau menghafal ialah kefahaman tentang sesuatu bahan yang dibaca dan dipelajari. Kemahiran mengingat atau menghafal banyak dibantu oleh deria pendengaran dan penglihatan yang baik. Dalam hal ini, maklumat atau informasi diterima daripada deria dan disimpan dalam otak. Kemahiran mengingat dan menghafal membantu informasi yang diterima disimpan dalam ingatan kekal dan mampu digunakan semula pada masa yang diperlukan.

5. Kemahiran Mengumpul Maklumat

Kemahiran maklumat merupakan satu aspek kemahiran BCB yang paling utama. Dalam hal ini, pelajar bukan sahaja mampu mengenal pasti maklumat yang perlu dicari, tetapi juga mampu mengumpul, mengurus dan mengolah maklumat supaya maklumat tersebut dapat digunakan bagi memenuhi keperluan dalam pembelajaran. 

Kemahiran ini perlu dikuasai pelajar supaya pelajar mampu memperoleh maklumat tambahan dalam pelajaran. Hal ini disebabkan pelajar tidak boleh semata-mata bergantung kepada maklumat yang diberikan oleh guru-guru. Apabila pelajar menguasai kemahiran maklumat, bermakna pelajar berupaya mengenal pasti sumber pembelajaran, kaedah atau teknik mendapatkan maklumat sama ada melalui rujukan buku, rujukan kamus atau rujukan melalui sumber internet.

Tuntasnya, dengan menguasai kemahiran cara belajar sama ada dengan atau tanpa kehadiran guru, pelajar dapat memaksimumkan usaha dan mengoptimumkan pemerolehan ilmu pengetahuan . Dalam masa yang sama, penguasaan kemahiran cara belajar mampu membantu pelajar menggunakan masa secara berkesan. Bukan sahaja pelajar dapat mengenal pasti kelemahan dan kekuatan dalam proses pembelajaran pelajar sendiri serta cuba untuk mengatasinya namun yang lebih penting pelajar mampu membuat pembelajaran kendiri secara efektif bersesuaian dengan penekanan aspek pembelajaran sepanjang hayat oleh Kementerian Pelajaran.





5 comments:

  1. terimakasih dengan bahan yang dipaparkan. Izinkan saya buat muat turun.

    ReplyDelete
  2. salam cg Aniza.. izinkan saya membuat rujukan terhadap nota cg ini. terima kasih :)

    ReplyDelete